Syiah Dan Sahabat
Umumnya Sahabat Dan Keistimewaannya
Definisi Dan Titik Perbezaannya
Penghormatan Syi'ah Terhadap Sahabat
Sahabat Mengikut Batas Kitab Dan Sunnah
Qudamah bin Mad'un (Maz'un)
Siasah Umar Terhadap Sebahagian Sahabat
Riwayat Sahabat
Hadith Abu Hurairah
Hadith Ummahat al-Mu'minin
Tuduhan Mencaci Sahabat
Perbincangan Akhir
Penelitian Dan Kajian Sebelum Membuat Hukum

Riwayat Sahabat

Di dalam perbincangan tadi ternyata bahawa Syi'ah tidak berpendapat semua sahabat adalah adil, dan untuk menentukan "keadilan" ianya mestilah dinilai berdasarkan perbuatan yang dilakuan oleh sahabat selaras dengan syarat-syarat keadilan yang ditetapkan oleh al-Qur'an dan Sunnah. Kerana semata-mata menetapkan keadilan sebagai hak istimewa sahabat adalah tidak berasas samasekali.

Adapun Ahlul Sunnah, mereka menetapkan keadilan kepada sahabat dengan dalil-dalil yang kami telah sebutkan tadi. Meskipun begitu, mereka berselisih pendapat, sebahagian daripada mereka berpendapat semua sahabat adalah adil. Sebahagian yang lain berpendapat sahabat yang adil adalah sahabat yang tidak terlibat di dalam 'fitnah' (pembunuhan Uthman). Sementara Mu'tazilah pula berpendapat bahawa semua sahabat yang memerangi Ali AS adalah fasiq. Ibn al-Silah mengatakan bahawa semua sahabat yang tidak dilanda oleh kesamaraan fitnah adalah adil. Sementara Ibn al-Amidi dan Ibn al-Hajib pula berpendapat bahawa sahabat seperti juga orang lain,oleh itu "keadilan" mereka mesti dikaji.[1]

Syi'ah berpendapat sahabat bukan semuanya adil. Mereka begitu teliti tentang penerimaan riwayat. Lantaran itu mereka menerima riwayat yang thiqah yang mencukupi syarat-syarat tertentu. Kerana hadith adalah "perlembagaan Islam" dan minhaj kehidupan Muslimin mengenai keagamaan dn kemasyarakatan. Oleh itu Muslimin bersungguh-sungguh mengkaji sanad dan dalilnya.

Kami telah mendengar dan setiap orang telah mendengar tuduhan-tuduhan terhadap Syi'ah. Syi'ah menolak hadith-hadith sahabat. Ini adalah satu kutukan terhadap sahabat-sahabat Muhammad SAWA. Sebahagian mereka mengatakan Syi'ah tidak berpegang kepada syari'at Muslimin kerana mereka menolak hadith-hadith sahabat, dan lain-lain tuduhan terhadap mereka.

Apa yang jelas kata-kata tersebut mempunyai tujuan tertentu yang menyalahi kenyataan. Ianya berlaku kerana keadaan tertentu yang menimpa umat Islam. Apakah salahnya Syi'ah meneliti penerimaan riwayat hadith? Adakah mereka membawa perkara yang keji, apabila mereka tidak menerima riwayat orang yang ternyata jahat perbuatannya, dan ternyata mengikut hawa nafsunya? Di samping itu terdapat beberapa perkara yang menegah penerimaan beberapa hadith dari segi sanad, dan dalil, Kerana ianya tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera.

Meskipun begitu, riwayat sahabat dan penerimaannya mengikut Syi'ah tidaklah seperti apa yang didakwakan ke atas mereka; menolak semua riwayat sahabat. Adakah wajar dikatakan orang yang menjaga agamanya dan meneliti di dalam pengambilan hukumnya sebagai pencaci sahabat-sahabat Muhammad SAWA?[2]

Apabila kita ingin mengkjai dengan mendalam tentang (penerimaan) riwayat Abu Hurairah umpamanya, bertujuan mendedahkan kedudukannya, mereka akan mengatakan: Ini adalah cacian kepada sahabat. Adakah ia suatu kebenaran jika kita menolak hadith-hadithnya yang begitu banyak. Dan bertanya pengkhususannya di mana tidak seorang pun sahabat yang dapat menandinginya, sedangkan beliau baru menerima Islam, selepas peperangan Khaibar dalam tahun ketujuh Hijrah. Dan pergi ke Bahrain pada tahun ke lapan Hijrah. Dan menetap di sana sehingga Rasulullah SAWA wafat. Oleh itu "persahabatan"nya dengan Nabi adalah kurang daripada dua tahun. Bagaimanakah dia mempunyai "keistimewaan" yang tidak diperolehi oleh orang yang lebih awal Islam daripadanya, lebih banyak bergaul daripadanya dengan Nabi SAWA, dan mempunyai hati yang lebih terbuka untuk menerima apa yang didengari?

Abu Hurairah bekerja keras untuk menutup perutnya. Dia berjumpa dengan orang ramai bertanyakan masalah-masalah mereka bertujuan supaya mereka merasa kasihan kepadanya dan memberinya makan. Kenapakah "hadith-hadith" berada begitu banyak pada Abu Hurairah, tidak pula sahabat-sahabat Muhammad SAWA yang lain? Banyaknya hadith-hadith yang diriwayatkan oleh beliau menimbulkan keingkaran dan tanda tanya. Dia telah meriwayatkan 5374 hadith. Sahabat-sahabat lain menentangnya dan membohonginya. Tetapi Abu Hurairah memberi alasan bahawa sahabat-sahabat lain sibuk dengan perniagaan mereka.

Al-'Iraj meriwayatkan daripada Abu Hurairah dia berkata:"Anda bertanya kenapakah orang Muhajirin tidak meriwayatkan hadith-hadith daripada Rasulullah SAWA? Sesungguhnya sahabat-sahabatku daripada orang Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka di pasar-pasar. Sementara sahabat-sahabatku daripada orang Ansar pula, sibuk dengan pengurusan tanah-tanah mereka. Sesungguhnya aku seorang yang sentiasa berada di majlis-majlis Rasulullah SAWA, aku hadir apabila mereka tidak hadir, dan aku menghafal apabila mereka lupa.[3]

Penjelasan itu tidak boleh diterima kerana ianya ditolak oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAWA yang lain. Aisyah dan Abdullah bin Umar menentangnya. Sementara Umar pula menegahnya daripada meriwayatkan hadith Nabi SAWA.

Abu Hurairah mendakwa beliau mempunyai masa lapang untuk menghafal hadith-hadith kerana beliau daripada Ahlul Suffah yang berusaha hanya untuk menutup perutnya daripada kelaparan. Kami ingin bertanya kepadanya tentang pengkhususannya kenapa orang lain yang mempunyai masa lapang (Ahlul Suffah) yang lebih dahulu Islam daripadanya tidak mempunyai pengkhususan ini?

Di sini diperturunkan sebahagian hadith Ahlul Suffah sebagai contoh:

Hadith Ahlul Suffah

1. Hajjaj bin Umar al-Mazini al-Ansari turut berperang bersama Ali AS meriwayatkan 1 hadith di dalam Sihah.
2. Hazim bin Harmalah al-Aslami meriwayatkan 1 hadith. Ianya diriwayatkan pula oleh Ibn Majah daripada Abi Zainab.
3. Zaid bin al-Khattab al-Adawi wafat di hari Yamamah, mempunyai 1hadith kemudian ianya diriwayatkan oleh Ibn Umar.
4. Safinah hamba Rasulullah SAWA mempunyai 14 hadith Muslim meriwayatkan hanya 1 hadith daripadanya.
5. Syaqran hamba Rasulullah SAWA mempunyai 1 hadith diriwayatkan olehal-Turmidhi.
6. Tinkhafah Ibn Qais al-Ghaffari mempunyai 1 hadith dan telah diriwayatkan oleh penulis-penulis al-Sihah.
7. Abdullah bin Anis Abu Yahya wafat tahun 80 Hijrah di Syam mempunyai 24 hadith. Muslim meriwayatkan 1 hadith sahaja.
8. Abdullah bin al-Harath bin Jaza'iz al-Zubaidi, wafat di Mesir pada tahun 80 Hijrah. Beliau merupakan sahabat yang terakhir meninggal dunia di sana. Dia mempunyai beberapa hadith, di keluarkan oleh Abu Daud, al-Turmidhi dan Ibn Majah.
9. Abdullah bin Qart ath-Thimali, wafat pada tahun 56 Hijrah. Beliau mempunyai 1 hadith diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasa'i.
10. Uqbah bin Amir al-Juhani, wafat pada tahun 58 Hijrah. Beliau mempunyai 55 hadith, tetapi al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan 9 hadith daripadanya, beliau adalah di antara orang yang turut berperang bersama Muawiyah di dalam peperangan Siffin.
11. Umar bin Taghlab al-Abdi, mempunyai 2 hadith. Kedua-duanya telah diriwayatkan oleh al-Bukhari.
12. Umar bin Anbasah as-Sulami, mempunyai 48 hadith. Muslim meriwayatkan 1 hadith daripadanya.
13. Utbah bin Abd as-Sulami wafat pada tahun 87 Hijrah, mempunyai 28 hadith.
14. Utbah bin an-Nudar, mempunyai 2 hadith. Kedua-duanya diriwayatkan oleh Ibn Majah.
15. Iyad bin Hammad al-Majasya al-Basri, mempunyai 30 hadith, tetapi Muslim meriwayatkan 1 hadith sahaja daripadanya.
16. Fadalah bin Ubaid al-Ansari wafat tahun 53 Hijrah. Turut berperang Uhud menyertai Bai'ah al-Ridhwan. Beliau mempunyai 50 hadith tetapi Muslim meriwayatkan 2 hadith sahaja.
17. Furat bin Hayyan al-Ajali. Abu Daud meriwayatkan 1 hadith daripadanya. Beliau merupakan orang kuat Abu Sufyan. Rasulullah SAWA memerintahkan supaya beliau dibunuh.
18. As-Sa'ib bin Khalad bin Suwaid bin Tha'labah bin Umar al-Khazraji, wafat dalam tahun 71 Hijrah. Beliau mempunyai 5 hadith.[4]

Hadith Abu Hurairah


Nota Kaki:

1. Syarh al-Fiyah al-Iraqi, V, hlm.35; al-Kifayah, hlm.81-3.
2. Tidakkah Ammar bin Yasir, Miqdad, Abu Dhar, Salman, Huzaifah adalah sahabat? Mereka menjawab: Ya. Adakah Syi'ah mencaci mereka? Mereka menjawab: Tidak.
3. Al-Futuhat al-Wahabiyyah, hlm.36, Ahmad bin Hanbal, Musnad, XII, hlm.272.
4. Jumlah hadith yang diriwayatkan oleh Ahlul Suffah tidak termasuk riwayat Abdullah bin al-Harth yang disebut "hanya beberapa hadith" ialah 265 hadith. Manakala Abu Hurairah yang juga Ahlul Suffah meriwayatkan sebanyak 5374 hadith. Perbezaaanya ialah 5109. Sementara Abu Bakar meriwayatkan sebanyak 142 hadith. Umar 537 hadith, Uthman 146 hadith, dan Ali AS sebanyak 586 hadith. Jumlah hadith yang diriwayatkan oleh mereka berempat ialah 1411 hadith. Ini bermakna Abu Hurairah telah meriwayatkan hadith melebihi mereka sebanyak 3963 hadith. Lihat Syarafuddin al-Musawi, Abu Hurairah, Karachi, 1979 (cetakan ketiga) hlm.20.
 

Free Web Hosting