Syiah Dan Sahabat
Umumnya Sahabat Dan Keistimewaannya
Definisi Dan Titik Perbezaannya
Penghormatan Syi'ah Terhadap Sahabat
Sahabat Mengikut Batas Kitab Dan Sunnah
Qudamah bin Mad'un (Maz'un)
Siasah Umar Terhadap Sebahagian Sahabat
Riwayat Sahabat
Hadith Abu Hurairah
Hadith Ummahat al-Mu'minin
Tuduhan Mencaci Sahabat
Perbincangan Akhir
Penelitian Dan Kajian Sebelum Membuat Hukum

Umumnya Sahabat Dan Keistimewaannya
(Petikan dari Buku Al-Sahabat Menurut Perspektif Islam oleh Syaikh Asad Haidar terjemahan oleh Haji Khalid Kasban Penerbitan Pustaka Ikhwan,1987, hlm. 9-22)

Sahabat termasuk orang munafiq, orang yang melakukan fitnah dan orang yang menukarkan perkara-perkara tertentu bagi Rasulullah . Mereka melakukan penipuan sehingga datangnya kebenaran, dan perintah Allah, lalu mereka membencinya.

Terdapat di kalangan mereka yang menyakiti Rasulullah dan disifatkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud:"Di antara mereka ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan:Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya."[1]Dan firmanNya:"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan."[2]

"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."[3].

Terdapat di kalangan mereka penipu-penipu dan orang yang menzahirkan keimanan. Allah menyifatkan mereka di dalam firmanNya:

Terjemahan:"Di antara manusia ada yang mengatakan:Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian; padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman; padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar."[4]

Terjemahan:"Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan "kami telah beriman." Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka mereka mengatakan: Sesungguhnya kami berpendirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."[5]

Terjemahan:"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran). Maka Allah menimbulkan kemunafiqan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang mereka telah ikrarkan kepadaNya dan juga kerana mereka selalu berdusta."[6]

Wal-hal sahabat mempunyai kedudukan yang tinggi. Secara umumnya iannya mengandungi orang yang telah diuji hatinya dengan keimanan, keikhlasan terhadap Allah, berjuang dengan gigih dan telah mencapai darjat kesempurnaan diri. Maka mereka itu menjadi contoh bagi kemuliaan akhlak iaitu mereka yang takut kepada Allah dan mematuhi segala suruhanNya. Sebagaimana firmanNya:

Terjemahan:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (iaitu) orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."[7]

Sebagaimana juga sahabat tidak termasuk orang yang imannya tidak memasuki hatinya. FirmanNya:

Terjemahan:"Mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya."[8]

Oleh itu sahabat tidak maksum (terpelihara daripada dosa) sama ada pada masa hayat Nabi SAWA atau selepasnya.

Terdapat sebuah Hadith dengan sanadnya diriwayatkan oleh Abu Abdullah al-Ansari daripada Abu Darda'. Dia berkata: Aku bertanya wahai Rasulullah sesungguhnya telah sampai kepadaku Hadith anda yang berbunyi:

Terjemahan:"Akan murtad beberapa golongan selepas mereka beriman? Rasulullah SAWA menjawab: Ya! Tetapi anda bukanlah daripada mereka."[9]

Apa yang aneh ialah terdapat setengah orang memberikan alasan bahawa maksud dengan orang yang murtad itu ialah oang yang telah membunuh Uthman. Sedangkan Abu Darda' telah meninggal dunia sebelum pembunuhan Uthman. Ini memberikan implikasi "pengutukan" terhadap kebanyakan sahabat. Kerana mereka terlibat dengan pembunuhan Uthman. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak terlibat.

Di antara bukti-bukti penafian "keadilan" (al-Adalah) sahabat pada masa Nabi SAWA ialah seperti berikut:

1. Seorang lelaki menulis untuk Nabi SAWA. Dia membaca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran: Nabi SAWA menyuruh dia menulis "ghafuran rahima" tetapi dia menulis ''aliman hakima". Maka Nabi SAWA berkata kepadanya: Tulislah….(apa yang disuruh). Lelaki itu berkata: Aku akan tulis apa yang aku mahu. Nabi SAWA menyuruh dia menulis "aliman hakima" maka lelaki itu menulis "sami'an basira". Dia berkata: Saya lebih mengetahui daripada kalian tentang Muhammad. Nabi SAWA bersabda: Bumi tidak akan menerimanya. Anas berkata: Abu Talhah memberitahuku bahawa dia telah pergi ke tempat lelaki itu ditanam, dan didapatinya tidak diterima oleh bumi. Lalu Abu Talhah bertanya: Apakah dengan keadaan lelaki itu? Mereka menjawab: Kami telah mengkebumikannya beberapa kali tetapi bumi tidak menerimanya. Ibn Kathir berkata: Hadith ini adalah mengikut syarat Bukhari dan Muslim tetapi kedua-duanya tidak mencatatkannya di dalam Sahih-Sahih mereka.[10]

2. Al-Walid bin Uqbah bin Abi Mu'it[11] yang telah dinamakan oleh Allah sebagai fasiq ketika diutuskan oleh Nabi SAWA untuk memungut zakat daripada Bani Mustalaq. Dia pulang dan memberi tahu Nabi SAWA bahawa Bani Mustalaq telah keluar untuk memeranginya. Lalu Nabi SAWA bersiap sedia dengan tentera untuk memerangi mereka.Maka Allah berfirman:

Terjemahan:"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atau perbuatanmu itu."[12]

Dia adalah di kalangan sahabat, dan di manakah keadilan daripada seorang yang fasiqa?

3. Al-Jadd bin Qais daripada Bani Salmah telah diturunkan ayat mengenaiNya. FirmanNya:

Terjemahan:"Di antara mereka ada orang yang berkata:"Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah." Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang kafir."[13]

4. Masjid Dirar. Tahukah anda bahawa masjid Dirar telah dibina oleh golongan yang "mereka" panggil sahabat yang berpura-pura menunaikan sembahyang di dalam beberapa waktu kemudian Allah mendedahkan rahsia mereka dan ternyatalah perbuatan mereka. Sesungguhnya mereka adalah orang munafiq. Allah berfirman:

Terjemahan:"Dan orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan dan (kerana) kekafiran(nya), dan untuk memecah-belah antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah "kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta."[14]

Mereka terdiri daripada dua belas orang Munafiqin iaitu Khuzam bin Khalid bin Ubaid, Mu'tab bin Qusyair, Abu Habibah bin Abi Az'ar dan lain-lain.[15]

5. Tha'labah bin Hatib bin Umar bin Umayyah di antara orang yang turut berperang di dalam peperangan Badar dan Uhud. Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya. Lalu Allah berfirman: Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya. Lalu Allah berfirman:

Terjemahan:"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah:"Sesungguhnya jika Allah memberi sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang yang saleh."[16]

Tha'labah adalah sahabat yang sentiasa mengerjakan salat. Dia asalnya seorang yang miskin. Dia meminta rasululullah SAWA memohon kepada Allah untuknya. Dia berkata:"Pohonkanlah kepada Allah untukku supaya Dia mengurniakan harta yang banyak." Lalu Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Tha'labah harta yang sedikit yang kamu bersyukur lebih baik daripada harta yang banyak." Maka Tha'labah berkata:"Demi orang yang telah mengutuskan kamu dengan kebenaran sebagai seorang Nabi supaya kamu menyeru Allah supaya Dia mengurniakan rezeki yang banyak. Demi Allah aku akan memberi hak kepada orangnya." Lalu Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah Tha'labah harta, kemudian hartanya bertambah, tetapi dia tetap tidak mahu memberi zakat. Dan dia adalah termasuk orang yang berbohong."[17]

6. Dhu al-Thadyah. Adalah seorang sahabat yang disegani kerana kuat beribadat. Tetapi Nabi SAWA mengarahkan supaya dia dibunuh. Nabi SAWA bersabda:

Terjemahan:"Dia adalah seorang lelaki dimukanya terdapat tompok daripada syaitan. Beliau menghantar Abu Bakar untuk membunuhnya, manakala dia (Abu Bakar) melihatnya sedang sembahyang, dia kembali (tidak membunuhnya), lalu Nabi menghantar Umar, tetapi dia tidak membunuhnya. Kemudian beliau menghantar Ali AS tetapi dia tidak mendapatinya (dia telah pergi).[18]

7. Golongan yang mereka namakan sahabat juga telah berkumpul di rumah Suwailam. Lalu mereka menegah orang ramai datang kepada Rasulullah SAWA. Maka Rasulullah SAWA menyuruh supaya rumah tersebut dibakar.[19]

8. Qazman bin al-Harith telah ikut serta berperang di dalam Peperangan Uhud, bersama Nabi SAWA. Sahabat-sahabat yang lain berkata:"Tidak seorang pun daripada kami diberi pahala seperti yang diberikan kepadanya."Nabi SAWA menjawab:"Sesungguhnya dia daripada ahli neraka."Manakala beliau terluka, lalu jatuh, seorang berkata kepadanya:"Tahniah kepada anda ke syurga."Dia menjawab kepadanya:"Syurga daripada kutu. Demi Allah kami tidak berperang selain daripada mendapat ganjaran duniawi."[20]

9. Al-Hakim bin Abil-As bin Umaiyyah bin Abd Syams diusir dari Madinah dan dilaknati oleh Rasulullah SAWA. Dia adalah bapa kepada Marwan dan bapa saudara kepada Uthman bin Affan.

Al-Fakihi telah memberitahu dengan sanad daripada az-Zuhri dan Ata' al-Khurasani bahawa sahabat-sahabat menziarahi Rasulullah SAWA ketika itu beliau sedang melaknati al-Hakam. Mereka bertanya:"Wahai Rasulullah ! Apakah dengannya? Rasulullah menjawab:"Dia memasuki (rumahku) melalui dinding yang pecah sedangkan aku bersama isteriku……"

Nabi SAWA berjalan di hadapan al-Hakam, lantas al-Hakam mencuitkan Nabi SAWA dengan anak jarinya (iaitu mempersendakannya). Lalu Nabi SAWA berpaling dan melihatnya dan berkata:"Wahai tuhanku jadikannya seorang yang tidak berguna." Kemudian dia (al-Hakam) segera lari dari tempatnya. Dia dinamakan Khait al-Batil "Benang Palsu." Rasulullah SAWA berkata kepadanya:"Celakalah umatku daripada keturunan lelaki ini."[21]

10. Apabila Rasulullah SAWA melawat Ka'ab pada masa sakitnya. Maka ibu Ka'ab pun berkata:"Tahniah ke syurga wahai Ka'ab." Rasulullah SAWA menjawab:"Apa sebab yang anda berpendapat sedemikian wahai ibu Ka'ab? Mana tahu Ka'ab telah mengucap apa yang tidak harus diucapkan."[22]

11. Al-Wahidi telah mencatatkan sebuah Hadith daripada Ibn Abbas mengenai firman Tuhan:

Terjemahan:"Dan sesungguhnya kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripadamu dan sesungguhnya kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian."[23]

Beliau berkata;"Seseorang wanita cantik sedang sembahyang di belakang Rasulullah SAWA. Sebahagian sahabat berada di barisan depan supaya mereka tidak melihatnya. Dan sebahagian sahabat berada di barisan akhir, apabila mereka rukuk, mereka dapat melihat wanita tersebut menerusi ketiak mereka.[24] Lalu Allah berfirman:(al-Hijr:24).

12. Ibn Hanbal telah menulis di dalam Musnadnya daripada Abdullah bin Mas'ud daripada Nabi SAWA bersabda:

Terjemahan:"Akulah yang mendahului kamu di Haud dan aku menentang mereka (aqwaman) kemudian aku akan mendapat kemenangan ke atas mereka dan aku akan berkata: Wahai Tuhanku! Sahabat-sahabatku! Dia akan berkata:"Kamu tidak mengetahui apa yang mereka telah lakukan (bid'ah) selepas kamu."[25]

Al-Turmidhi pula mencatatkan sebuah Hadith Nabi SAWA berbunyi:

Terjemahan:"……Aku berkata: Wahai Tuhanku sahabat-sahabatku. Maka ia dijawab:Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang mereka telah lakukan (bid'ah) selepas kamu. Sesungguhnya sebahagian mereka sentiasa murtad semenjak kamu meninggalkan mereka….."[26]

Semoga bukti-bukti yang dikemukakan itu tidaklah begitu panjang sehingga menjemukan pula. Oleh itu memadailah kamu menerangkan sebahagian kecil daripada bukti-bukti yang menafikan keadilan sahabat secara umum dan mutlak.

Sebenarnya persahabatan (dengan Nabi SAWA) adalah suatu keistimewaan tetapi ianya bukanlah suatu kemaksuman kerana terdapat di kalangan mereka (sahabat) yang adil, wali-wali dan siddiqun. Mereka merupakan ulama ummah dan pembawa Hadith Nabi SAWA sebagaimana juga terdapat di kalangan sahabat yang majhul al-hal tidak diketahui latar belakang mereka.[27]Malah terdapat sahabat munafiq dan penjenayah-penjenayah sebagaimana firman Allah Ta'ala:

Terjemahan:"Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu ada orang-orang munafiq, dan (juga) ada di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafiqannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami siksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar."[28]

Di kalangan sahabat ada yang menyakiti hati Rasulullah SAWA. FirmanNya:

Terjemahan:"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."[29]

Kepada Allah kita melepaskan diri kita daripada mereka dan daripada orang yang di dalam firmanNya:

Terjemahan:"Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan."[30]

Dan orang yang menipu sebagaimana firmanNya;

Terjemahan:"Sesungguhnya orang-orang "munafiq" itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. Mereka di dalam keadaaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir); tidak masuk keadaan golongan ini (orang-orang kafir). Barang siapa yang disesatkan Allah maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) baginya."[31]

Al-Qur'an menerangkan dengan jelas tentang wujudnya golongan yang mendengar dakwah Rasulullah SAWA tetapi Allah mengunci hati mereka kerana mereka menurut hawa nafsu mereka. Dia berfirman:

Terjemahan:"Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan:Apakah yang dikatakan tadi? Mereka itulah orang-orang yang dikunci hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka."[32]

Sebagaimana juga Allah melaknati golongan yang terdapat di hati mereka "penyakit", dan mereka merosak di bumi dan memutuskan silatur-rahim. FirmanNya:

Terjemahan:"Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituliskanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci?[33]

Ya! Di manakah mereka itu selepas Rasulullah SAWA? Merekalah yang telah membuat Nabi SAWA menanggung penderitaan dan kesusahan di dalan hidupnya.[34] Adakah keadaan mereka berubah selepas kewafatannya daripada nifaq kepada iman? Daripada kerosakan kepada kebaikan, daripada syak kepada yakin sehingga mereka termasuk ke dalam golongan sahabat yang adil, warak, taqwa, mulia diri, mempunyai keilmuan yang tinggi, lemah-lembut, berkorban di jalan Allah sebagaimana firmanNya:

Terjemahan:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.[35]

Kami tidak syak kepada agama kami dan kami tidak menentang perkataaan yang benar di dalam menilai perbezaan kedudukan sahabat dan darjat mereka. Kerana kami akan mengikut sahabat yang benar sahaja. Dan kami akan mematuhi mereka yang bersifat dengan sifat-sifat yang mulia, sebagaimana diterangkan oleh Allah dan RasulNya. Begitu juga kami tidak mempercayai sahabat yang menjadi pengkhianat kepada Allah dan RasulNya. Kerana itu merupakan suatu penjenayahan dan suatu pengkhianatan terhadap Islam. Dan kami tidak cenderung kepada orang yang zalim daripada mereka.[36] Dan kami menentang orang yang menentang Allah dan RasulNya. Inilah perkataan yang benar, dan perkataan yang benar itu lebih berhak diikuti.

Definisi Dan Titik Perbezaannya



Nota Kaki:

1. Al-Taubah (9):61
2. Al-Ahzab (33):57
3. Al-Taubah (9):61
4. Al-Baqarah (2):8-9
5. Al-Baqarah (2):14
6. Al-Taubah (9):75-7
7. Al-Anfal (8):2-3
8. Al-Fath (48):11
9. Ibn Kathir, Tarikh, VI, hlm.170
10.Ibid.
11. Adik Khalifah Uthman dari sebelah ibunya. Semasa pemerintahannya, Khalifah Uthman melantik beliau sebagai gabenor di Kufah, al-Baladhuri, al-Ansab al-Asyraf, V, hlm.22; Ibn Abd al-Barr, al-Isti'ab, III, hlm.594 menceritakan bahawa al-Walid bin Uqbah adalah seorang peminum arak. Beliau pernah sembahyang Subuh dalam keadaan mabuk. Ibn Qutaibah di dalam al-Imamah wa al-Siyasah, Cairo, 1957, I, hlm.32, menyatakan al-Walid bin Uqbah sembahyang Subuh empat rakaat kerana mabuk.
12. Al-Hujurat (49):6
13. Al-Taubah (9):49
14. Al-Taubah (49):107
15. Ibn Hisyam, Sirah, I, hlm.341; Ibn Kathir, Tafsir, II hlm.338
16. Al-Taubah (9):75-76
17. Ibn Abd al-Barr, al-Isti'ab, I, hlm. 201, al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, hlm.25
18. Ibn Hajar, al-Isabah, I, hlm. 429
19. Ibn Hisyam, Sirah, I, hlm. 332
20. Ibn Hajr, al-Isabah, III, hlm. 235
21. Al-Isabah, I, hlm. 346. Di masa pemerintahannya, Khalifah Uthman memanggilnya pulang ke Madinah dari Tai'f. Lihat umpamanya al-Tabari, Tarikh V, hlm.60, dan seterusnya. Sepatutnya beliau tidak memanggilnya pulang kerana ianya bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA. Oleh itu Sunnah Khalifah bertentangan dengan Sunnah Rasul SAWA mestilah diketepikan.
22. Tarikh Baghdad, IV, hlm. 273
23. Al-Hijr (15): 24
24. Al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, hlm. 158
25. Ahmad bin Hanbal, Musnad, V, hlm. 231
26. Al-Turmidhi, Sahih IV, hlm. 68. Lihat juga al-Bukhari, Sahih, mengenai sahabat yang berubah akhlak, pendirian dan kepercayaan selepas Nabi SAWA meninggal dunia dalam "Bab al-Haudh", VIII, hlm. 368-386
27. Lihat umpamanya, Murtadha al-Askari, Seratus Lima Puluh Sahabat Khayalan, Beirut. 1968.
28. Al-Taubah (9): 101
29. Al-Taubah (9):6130. Al-Mujadalah(58):16
31. An-Nisa'(4):142-3
32. Muhammad (47):1633. Muhammad (47):23-4
34. Sekiranya mereka berubah kepada kebaikan selepas saja wafatnya Nabi SAWA, ianya memberi implikasi bahwa Nabi SAWA sendiri adalah di antara penghalang utama (untuk mereka menjadi baik). Dan ini adalah bertentangan dengan akal dan syarak.
35. al-Hujurat (49):15
36. Kerana firmanNya: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim nescaya kamu akan disentuh api neraka." (Hud:113).
 
 

Free Web Hosting