Aku berpendapat: Sesungguhnya 'Umar telah mengakui bahawa 'Ali adalah wasi Rasulullah pada umatnya, dan khalifahnya pada keluarganya. Hadith yang mengandungi pengertian seperti ini telah melebihi dua ratus. Dan aku telah mencatatnya di dalam buku Syi'ah wa hujjatu-hum fi al-Tasyayyu'.
Tetapi apa yang menghairankan ialah sikap 'Umar sendiri yang mengakui hadith ini dan seumpamanya telah melakukan perkara-perkara yang tidak menyenangkan Nabi dan keluarganya yang disucikan AS seperti mengingkari perintah Nabi SAWAW ketika beliau sedang gering supaya dituliskan wasiatnya. Malah 'Umar mengatakan Nabi SAWAW telah meracau. Serangannya ke atas rumah Fatimah, mengumpulkan kayu api untuk membakarnya, memaksa 'Ali supaya melakukan bai'ah dan lain-lain.
Semuanya dilakukan secara sengaja terhadap orang-orang yang telah diwasiatkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya (Surah al-Syura(42):23):"Katakan Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun kecuali kasih sayang kepada keluargaku."Dan sabdanya:'Aku wasiatkan kepada kalian kerana Allah tentang keluargaku kerana mereka adalah 'barang simpananku" pada kalian.' Adakah layak bagi 'Umar melakukan perbuatan-perbuatan yang sedemikian terhadap orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah? La hawla wa la Quwata illa billahi aliyyi l-azim.
11. 'Ali adalah sebaik-baik orang yang aku tinggalkan selepasku.'
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah25 daripada Mawaddah al-Qurba karangan al-Hamdani al-Syafi'i berkata: Aku berjumpa Rasulullah SAWAW semasa beliau sedang gering. Aku bertanya kepada beliau: Wahai Rasulullah! Adakah anda telah berwasiat. Beliau menjawab:'Wahai Salman! Adakah anda mengetahui siapakah wasi-wasi itu? Aku menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Beliau berkata: Adam wasinya Thith, beliau adalah sebaik-baik orang selepasnya. Wasi Musa ialah Yusyu', beliau adalah sebaik-baik orang selepasnya. Wasi Sulaiman ialah Asif bin Barkhia, beliau adalah sebaik-baik orang selepasnya. Wasi Isa ialah Syam'un, beliau adalah sebaik-baik orang selepasnya. Sesungguhnya aku telah berwasiat kepada 'Ali dan beliau adalah sebaik-baik orang selepasku.'
Aku berpendapat: Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh al-Turmudhi al-Hanafi di dalam al-Kaukab al-Duriyy26. Malah ianya diriwayatkan dengan banyak di dalam buku-buku Ahlu s-Sunnah daripada 'Umar dan Ibn 'Umar.
Hadith ini menunjukkan bahawa setiap Nabi adalah pewarisnya yang dilantik oleh Allah SWT. Lantaran itu seorang Nabi tidak akan mati di dalam keadaan beliau tidak berwasiat kepada wasinya dan meninggalkan syariat begitu sahaja. Demikian halnya dengan Rasulullah SAWAW pasti beliau telah berwasiat. Perhatikanlah bahawa beliau telah melantik 'Ali sebagai wazirnya di Hari al-Indhar dan di Hari al-Ghadir dan lain-lainnya ketika beliau sedang gering. Beliau memanggil orang ramai supaya (beliau) menulis perkara-perkara di mana mereka tidak akan sesat selepasnya selama-lamanya. Tetapi 'Umar menolaknya sambil berkata: Nabi anda sedang meracau, memadailah kitab Allah sahaja. Seolah-olah Rasulullah SAWAW tidak mengetahui kitab Allah berada di kalangan mereka.
Sekiranya Rasulullah SAWAW tidak meninggalkan wasiat, nescaya beliau menyalahi para nabi yang terdahulu. Perhatikanlah hadith riwayat Salman tadi dan lain-lain. Sesungguhnya menentuan wasi bagi para nabi adalah wajib. Justeru itu mereka menentukan wasi-wasi mereka dengan perintah Allah SWT, dan bukan menurut diri mereka sendiri kerana nabi, wasi dan imam bukan dilantik dengan pilihan seseorang kerana mereka tidak mengetahui orang yang benar-benar layak. Lantaran itu pemilihan nabi, wasi dan imam adalah terserah kepada Allah SWT, dan bukan orang lain. Kerana Dia lebih mengetahui rahsia-rahsia dan apa yang tersirat di hati. Sesungguhnya firmanNya di dalam (Surah al-Qasas(28):68)"Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka."