Aku solat di sana dan berdoa pendek. Kemudian aku minum airnya yang seakan air zamzam. Aku minta temanku menunggu sejenak lantaran aku ingin menulis surat ringkas kepada sejumlah sahabatku di Tunisia, dengan menggunakan poskad yang kesemuanya berlatarbelakangkan gambar kubah makam Syaikh Abdul Kadir al-Jailani yang berwarna hijau. Tujuanku semata-mata ingin membuktikan kepada sahabat-sahabat dan keluargaku di Tunisia betapa baiknya 'nasibku' sehingga aku dapat sampai ke tempat makam yang mereka sendiri belum pernah sampai ke sana.
Sekembalinya dari sana kami makan tengahari di suatu restoran tempatan yang terletak di tengah-tengah kota Baghdad. Kemudian temanku mengajakku pergi ke Kazimiah dengan menaiki teksi. Nama ini aku ketahui setelah mendengar temanku menyebutkannya kepada pemandu teksi tadi. Setelah beberapa langkah kami berjalan kami terlihat pada sekumpulan ramai orang lelaki dan perempuan, yang lengkap dengan bekalannya berjalan ke satu arah. Hal ini mengingatkanku pada waktu musim haji. Aku masih belum tahu arah tempat tujuan mereka sehinggalah nampak pandanganku beberapa kubah dan menara keemasan yang menarik perhatian. Aku faham yang itu adalah salah satu dari masjid syiah, kerana mengikut pengetahuanku mereka memang menghias masjid-masjid mereka dengan emas dan perak yang diharamkan oleh Islam.
Aku merasa sangat berat untuk masuk ke dalam. Namun kerana ingin menjaga perasaan temanku, akhirnya aku ikut tanpa ada pilihan.
Kami masuk dari pintu pertama. Aku perhatikan orang-orang tua mengusap dan mencium pintu-pintu masuk itu. Mataku terpandang pada suatu papan besar yang bertulisan "Dilarang Masuk Wanita Yang Tidak Menutup Aurat". Di sana juga ada tulisan kata-kata Imam Ali "Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana wanita-wanitanya keluar dengan memakai pakaian yang tipis..."Kami tiba di makam. Ketika temanku membaca bacaan izin masuk, aku melihat-lihat pintu itu dan kagum dengan ukiran-ukiran emas ayat-ayat al-Qur'an.
Temanku masuk ke dalam dan aku juga ikut di belakangnya. Aku sangat berhati-hati kerana fikiranku masih teringat akan sejumlah buku-buku yang mengkafirkan syiah. Aku lihat bahagian dalam makam penuh dengan ukiran dan hiasan yang tidak pernah terbayangkan oleh fikiranku. Aku sangat terkejut dengan apa yang aku saksikan itu. Aku bayangkan diriku berada di suatu tempat yang asing dan tidak biasa sama sekali. Kadang-kadang aku melihat dengan jijik pada mereka yang mengelilingi sekitar kuburan itu sambil menangis dan mencium-cium tiang dan besi-besinya. Ada sebahagian yang lain berdiri solat dekat dengan kuburan itu. Aku teringat pada hadith Rasul yang bermaksud:"Allah melaknat kaum Yahudi dan Nasrani lantaran mereka menjadikan kuburan para wali mereka sebagai masjid."
Aku menjauhkan diri dari temanku yang seketika terus sahaja menangis. Kemudian dia solat. Aku mendekat pada suatu tulisan yang mengandungi doa ziarah yang tergantung di atas makam. Aku membacanya tetapi banyak yang tidak mengerti. Ianya mengandungi sejumlah mana yang asing bagiku. Kemudian aku berdiri di satu sudut yang agak jauh lalu membacakan al-Fatehah kepada orang yang ada dalam kuburan itu. Aku berdoa:"Ya Allah, sekiranya orang yang ada dalam kubur ini adalah dari golongan Muslimin maka kasihanilah dia. Dan Kau lebih mengetahui dariku."
Temanku mendekat dan membisikkan kepadaku: seandainya kau mempunyai apa-apa hajat maka mintalah kepada Allah di tempat ini. Kami menamakan tempat ini dengan Bab al-Hawaij (Pintu Hajat). Aku tidak memperdulikan kata-katanya, semoga Allah memaafkanku. Aku terus memandang orang-orang tua yang memakai serban hitam dan putih, sementara dahi-dahi mereka nampak hitam bekas tanda sujud. Mereka nampak lebih berwibawa dengan janggut mereka yang terjulur rapi dan memberikan semerbak wangi. Pandangan mereka sangat tajam dan menakutkan. Setiap kali mereka masuk ke tempat itu mereka menangis tersedu-sedu. Aku bertanya sendiri apakah mungkin airmata itu adalah airmata yang tidak jujur? Apakah mungkin mereka yang tua-tua itu salah?
Aku keluar dari sana dengan rasa penuh hairan dan bingung dari apa yang
aku saksikan tadi. Sementara temanku ini keluar sambil mengundurkan diri
agar tidak membelakangi kuburan tersebut. Aku bertanya kepadanya:
"Siapa tuan makam ini?"
"Imam Musa al-Kazim,"jawabnya.
"Siapa Imam Musa al-Kazim?"
"Subhanallah, kalian sebagai saudara-saudara kami Ahlul Sunnah Wal-Jamaah
meninggalkan isi dan berpegang hanya pada kulit semata-mata."
"Apa maksud anda mengatakan yang kami hanya memegang kulit dan meninggalkan
isi?", tanyaku dengan geram.
"Ya Akhi!" Dia cuba menenangkan aku."Sejak kau tiba di Iraq, anda sentiasa
menyebut-nyebut nama Abdul Kadir al-Jailani. Siapa itu Abdul Kadir al-Jailani
sehingga menyebabkan anda memberikan seluruh perhatian anda kepadanya?"
"Beliau adalah dari anak-zuriat Nabi. Seandainya ada Nabi lain selepas
Nabi Muhammad maka Abdul Kadir al-Jailanilah yang akan menjadi nabi."
"Ya akhi Samawi. Apakah anda tahu tentang sejarah Islam?".
"Ya,"jawabku tanpa ragu-ragu.
Padahal aku tidak tahu sama sekali sejarah Islam. Mengingatkan guru-guru kami dahulu melarang kami membaca sejarah. Mereka berkata bahawa itu adalah sejarah hitam dan gelap, tidak ada guna membacanya. Aku masih ingat contohnya seorang guru mengajar kami subjek Ilmu Balaghah. Waktu itu beliau mengajar kami Khutbah Syiqsyiqiyah dari kitab Nahjul Balaghah himpunan khutbah-khutbah Imam Ali. Aku dan sebilangan murid-murid yang lain merasa hairan ketika membacanya. Aku beranikan diri untuk bertanya apakah benar ianya kata-kata Imam Ali. Guruku menjawab:"Ya. Apakah ada orang lain yang mempunyai balaghah sedemikian tinggi selain darinya. Kalaulah ini bukan kata-kata Imam Ali Karamallah Wajhahu, maka ulama-ulama Muslimin seperti Syaikh Muhammad Abduh, Mufti Besar Mesir tidak akan mahu mensyarahkannya." Kemudian aku katakan: Imam Ali telah menuduh Abu Bakar dan Umar merampas haknya dalam kekhalifahan. Mendengar ini guruku melenting dan sangat marah sehingga mengecamku keluar jika mengulangi soalan yang serupa. Katanya: kami mengajar ilmu Balaghah, bukn ilmu sejarah. Kita jangan ambil peduli dengan sejarah yang telah dihitamkan lembarannya oleh berbagai fitnah dan pertumpahan-pertumpahan darah di antara sesama Muslimin. Sebagaimana Allah telah sucikan pedang kita dari darah-darah mereka, maka kita sucikan juga lidah-lidah kita dari mencari mereka."
Aku tidak puas hati dengan hujah guruku di atas. Aku masih menaruh rasa 'dendam' kepada guruku yang mengajar ilmu balaghah tanpa maknanya itu. Aku berkali-kali berusaha mengkaji sejarah Islam tetapi aku tidak mempunyai buku rujukan yang cukup. Aku tidak jumpai satu pun dari ulama kami yang memberikan perhatian kepadanya, yang seakan-akan mereka sepakat untuk menutup lembarannya. Anda tidak akan dapati yang mereka mempunyai buku sejarah yang sempurna.
Ketika temanku menanyakanku tentang pengetahuan ilmu sejarah aku ingin sekadar membantahnya dengan mengatakan: ya. Padahal dalam benakku aku berfikir tiada gunanya sama sekali, ia adalah sejarah hitam dan gelap; tiada lain kecuali fitnah, perang dan berbagai kotradiksi.
Temanku bertanya lagi kepadaku:
"Tahukah anda bila Abdul Kadir al-Jailani dilahirkan dan di zaman apa?"
"Kira-kira pada kurun keenam atau ketujuh."
"Berapa lama jaraknya dengan zaman Rasulullah?"
"Enam abad,"jawabku.
"Jika satu abad ada dua generasi - paling sedikit - maknanya antara
Abdul Kadir al-Jailani dengan Rasulullah dipisahkan oleh dua belas keturunan."
"Ya,"jawabku.
"Yang ini adalah Musa bin Ja'far bin Muhammad bin Ali bin Husayn bin
Fatimah az-Zahra, yang nasabnya sampai kepada datuknya Nabi SAWA hanya
empat ayah sahaja. Atau lebih tepat beliau dilahirkan pada kurun kedua
Hijrah. Mana yang lebih dekat kepada Rasulullah SAWA, Musa atau Abdul Kadir?"
"Tentu yang ini," jawabku tanpa berfikir lagi."Tetapi kenapa kami tidak
mengenalnya dan tidak pernah mendengar tentang dirinya?"
"Inilah perkara yang mesti kita fikirkan. Itulah kenapa aku katakan
tadi bahwa kalian - maaf - meninggalkan isi dan berpegang hanya pada kulit
sahaja. Maafkan saya mengatakam demikian."
Kami berbincang sambil berjalan sehinggalah kami tiba di suatu perhimpunan ilmu di mana para pelajar dan sejumlah ustaza sedang asyik berdiskusi dan bertukar fikiran. Kami duduk di sana. Temanku nampak mencari-cari seseorang yang seakan ada janji dengannya. Seorang datang menghampirinya setelah mengucapkan salam. Aku fahami bahawa dia adalah teman pelajarnya dari satu universiti. Ditanyanya tentang seseorang yang dari jawapannya aku fahami bahawa dia adalah seorang doktor. Dia akan datang dalam masa tidak lama lagi. Kemudian temanku ini berkata kepadaku: Aku membawamu ke tempat ini kerana ingin mengenalkanmu dengan seorang doktor pakar ilmu sejarah beliau adalah pensyarah di Universiti Baghdad. Tesisnya dahulu adalah tentang sejarah Abdul Kadi al-Jailani. Insya Allah dia akan memberimu manfa'at kerana aku sendiri bukan pakar dalam bidang ini.
Kami minum air sari buah yang sejuk. Tidak lama kemudian, Doktor pakar sejarah itu tiba. Sambil berdiri temanku mengucapkan salam kepadanya. Diperkenalkannya aku kepadanya dan dimintanya agar Doktor ini menceritakan kepadaku tentang sejarah Abdul Kadir al-Jailani secara ringkas. Lalu dia sendiri minta izin sebentar kerana beberapa perkara penting yang mesti dilakukannya. Doktor ini pun memesan lagi untukku segelas minuman sejuk lain. Lalu mula menanyakan namaku, negeriku dan kerjayaku. Dia juga memintaku bercerita tentang kemasyhuran Abdul Kadir al-Jailani di Tunisia.
Banyak aku ceritakan kepadanya kisah-kisah berkenaan dengan Abdul Kadir al-Jailani ini, hingga aku katakan - sebahagian orang percaya bahawa Abdul Kadir al-Jailani telah memikul Nabi SAWA pada malam mikrajnya baginda ketika malaikat Jibril berundur dan takut terbakar. Kemudian Nabi SAWA berkata kepadanya: telapak kakiku di atas bahumu dan telapak kakimu di atas bahu para wali sehinggalah hari kiamat.
Mendengar ini Doktor itu tertawa. Entahlah apakah kerana riwayat ceritanya
ataukah kerana ustaz Tunisia yang berada di hadapannya. Setelah diskusi
ringkas tentang wali-wali dan orang-orang soleh beliau berkata bahawa beliau
telah mengkaji sepanjang tujuh tahun tentang Abdul Kadir al-Jailani ini.
Beliau telah berangkat ke Lahore Pakistan, Turki, Mesir, England, dan tempat-tempat
lain yang menyimpan manuskrip tulisan tangan tentang Abdul Kadir al-Jailani.
Semua manuskrip ini dibaca bahkan digambar. Kesemua manuskrip yang ada
tidak membuktikan bahawa Abdul Kadir al-Jailani
adalah dari keturunan Nabi SAWA. Paling hampir ada sebuah syair
yang dinisbahkan kepada salah seorang dari cucunya, antara lain berbunyi:"
Dan datukku Rasulullah." Sebahagian ulama mengertikannya bahawa ucapan
itu adalah takwil dari sebuah hadith Nabi yang bermaksud:"Aku adalah datuk
bagi setiap orang yang bertaqwa." Sejarah yang sohih juga membuktikan
bahawa Abdul Kadir al-Jailani adalah berasal dari Parsi, bukan Arab. Beliau
dilahirkan di suatu negeri di Iran yang bernama Jilan, dan kepada negeri
itulah Syaikh Abdul Kadir dinisbahkan. kemudian beliau pergi ke Baghdad
belajar dan mengajar pada masa di mana akhlak masyarakat saat itu sudah
sangat runtuh.
Syaikh Abdul Kadir al-Jailani adalah seorang yang zahid (mepunyai sifat zuhud). Masyarakat sekitarnya sangat mencintainya. Selepas wafatnya maka mereka dirikan suatu tarekat atas nama Syaikh Qadiriyyah seperti yang biasa dilakukan olen pengikut-pengikut orang-orang sufi. Kemudian beliau menambahkan lagi:"Sungguh, dari segi ini keadaan orang-orang Arab sangat mengecewakan."
Tiba-tiba rasa keWahabiyyahan timbul dalam diriku. Aku katakan kepadanya:
"Kalau begitu anda ini berfikiran Wahabi hai Doktor. Mereka berkata
seperti anda bahawa istilah wali sama sekali tidak ada (dalam Islam)."
"Tidak. Aku tidak sepakat dengan pendapat Wahabiyyah. Yang sangat mengecewakan
kaum Muslimin adalah sikap mereka sama ada i'frat (berlebih-lebihan) atau
tafrit (jumud). Sama ada mereka percaya dengan semua khurafaat yang tidak
bersandarkan pada hujah syarak atau akal atau mereka menolak sama sekali
hatta kepada mukizat Nabi kita Muhammad SAWA dan hadith-hadithnya. Lantaran
tidak sejalan dengan aqidah ini dan kecenderungan yang mereka percayai.
Satu puak terbit dan yang lainnya tenggelam. Orang-orang sufi berkata bahawa
Syaikh Abdul Kadir al-Jailani misalnya pada suatu masa boleh berada di
Baghdad dan dalam masa yang sama juga boleh berada di Tunisia. Atau beliau
mengubati seorang yang sakit di Tunisia dan dalam masa yang sama juga menyelamatkan
seorang yang tenggelam di dalam sungai Dajlah di Iraq. Ini adalah sikap
berlebih-lebihan. Sementara Wahabi sebagai reaksi kepada sufi menolak semua
ini bahkan mengatakan syirik kepada mereka yang bertawasul kepada Nabi
SAWA. Ini adalah sikap yang jumud, ya akhi. Kita sepatutnya seperti yang
difirmankan oleh Allah SWT di dalam kitabNya yang bermaksud:"Demikianlah
Kami jadikan kamu sebagai ummat yang pertengahan agar kelak menjadi saksi
kepada ummat manusia "[Al-Baqarah: 143]
Kata-katanya itu sangat mengkagumkanku dan secara prinsip aku berterima kasih kepadanya. aku juga menampakkan kepadanya rasa kepuasanku atas apa yang dicakapkannya. Kemudian beliau membuka begnya dan mengeluarkan sebuah buku tentang Abdul Kadir al-Jailani, lalu dihadiahkannya kepadaku. Dijemputnya aku datang ke rumahnya tetapi aku meminta maaf lantaran beberapa hal. Kami terus berbual tentang Tunisia dan Afrika Utara hinggalah temanku itu datang. Pada waktu malam kami pulang ke rumah setelah satu hari penuh kami berziarah dan berdiskusi. Aku rasakan badan sangat letih sehingga aku menyerah diri untuk tidur.
Pada waktu subuh aku bangun dan solat. Kemudian aku duduk membaca kitab
yang mengkaji tentang kehidupan Abdul Kadir al-Jailani sehinggalah aku
dapat selesaikan setengahnya sebelum kedatangan temanku. Dia berulang kali
memanggilku untuk bersarapan pagi, tetapi aku menolaknya sehinggalah aku
selesaikan terlebih dahulu buku yang aku baca itu. Buku tersebut sangat
memukauku dan berhasil memasukkan rasa keraguan dalam diriku. Namun ianya
sirna sebelum aku meninggalkan Iraq.