Kesucian dan Kemuliaan Ahlul Bayt AS Dalam Hadith al-Kisa |
Kemasyhuran hadith ini telah diketahui umum dan tiada seorang pun yang boleh menafikan kepentingan dan ketulenannya.Ayat al-Qur'an Surah 33:33, yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan kalian daripada kekotoran (rijsa) ,wahai Ahlul Bayt dan menyucikan kamu sebersih-bersihnya."
Ayat di atas di wahyukan untuk menunjukkan kemuliaan dan kesucian Ahlul Bayt AS. Ayat al-Qur'an ini dikenali sebagai ayat al-Tathir dan menjadi asas kepada hadith al-Kisa yang menceritakan tentang Ahlul Bayt AS.
Di waktu ayat tersebut diwahyukan, Rasulullah SAWA menghimpunkan anak perempuan beliau Fatimah AS, anak-anaknya Fatimah iaitu Hasan Husayn, juga suami Fatimah, Ali AS. Rasulullah SAWA menyelimuti mereka termasuk diri baginda sendiri di dalam sehelai selimut dan memohon ke hadrat Allah SWT dengan sabdanya yang bermaksud:
"Ya Allah mereka inilah Ahlul Baytku."(Allahumma haula'i Ahl Bayti, ha'ula'i Itrati) Peliharalah mereka dari sebarang keburukan dan sucikanlah mereka dengan sesuci-sucinya."
Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAWA yang berada di dalam rumah pada masa itu menyaksikan sendiri kejadian yang sungguh menakjubkan itu, dan dengan perasaan rendah hati memohon kepada Rasulullah SAWA:"Ya Rasulullah! Bolehkh aku turut bersama-sama mereka?" Rasulullah SAWA menjawab:"Tidak, tetaplah kamu di tempat kamu berada!"
Rasulullah SAWA bersabda yang bermaksud:"Perumpamaan Ahlul Baytku adalah seperti Bahtera Nabi Nuh AS. Barang siapa yang menaikinya akan selamat dan barang siapa yang menyisihkan diri dari mereka akan tenggelam."
Ahlul Bayt AS menikmati kedudukan yang tinggi dan mulia dengan perintah Allah SWT, yang dapat dilihat menerusi ayat al-Qur'an, yang bermaksud:
"Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang di dalam kekerabatan."
Maksud ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAWA diperintahkan oleh Allah SWT untuk meminta orang-orang yang beriman supaya mencintai keturunannya iaitu Ahlul Bayt AS. Inilah balasan (upah) yang diminta oleh Rasulullah SAWA dari pengikut-pengikut beliau SAWA di atas seruan yang disampaikan kepada mereka di sepanjang hayatnya.
Rasulullah SAWA bersabda, yang bermaksud:
"Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang paling berharga (al-Thaqalain), Kitab Allah dan Itrahku. Kamu tidak akan sesat selepasku sekiranya kalian mentaati kedua-duanya, dan kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga mereka menemuiku di telaga al-Haud (di syurga)."
Setiap orang harus membaca hadith ini dengan perasaan penuh khusyuk, ikhlas dan taat, da sebelum ataupun selepas membacanya mereka terlebih dahulu hendaklah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAWA dan Ahlul Baytnya sebanyak 3 kali.
Setiap orang haruslah membaca hadith ini seberapa kerap yang boleh, khususnya pada malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Insya Allah dengan berkat Ahlul Bayt AS, doa seseorang akan dimakbulkan Allah SWT. Terdapat banyak manfaat kepada seseorang yang membacanya, dan sekiranya selalu diulangi, semua keinginan ruhaniahnya akan dikabulkan oleh Allah SWT menerusi keberkatan Ahlul Bayt AS. Insya Allah.
Di bawah ini disebutkan beberapa ulama dan ahli tafsir yang telah meriwayatkan hadith tersebut melalui berbagai sumber. Semua riwayat tersebut saling berhubungan di dalam bentuk yang berbeza-beza dan berikut adalah sebahagian daripadanya:
Berikut ialah hadith yang dipetik dari manuskrip Awalim al-Ulum, Syaikah Abdullah bin Nur Allah al-Bahraini, yang menceritakannya menerusi riwayat yang tepat dari Jabir bin Abdullah Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Rasul SAWA yang terkemuka.
Sayyidatina Fatimah AS, seorang wanita yang dipenuhi Nur, menceritakan kejadian yang berkaitan dengan ayat al-Tathir seperti berikut:
"Pada suatu hari, ayahku,Rasulullah SAWA datang kepadaku dan berkata:"Salam sejahtera ke atas kamu Wahai FAtimah! dan aku
membalas:"Salam sejahtera ke atas kamu, wahai ayahku."
Kemudian beliau SAWA bersabda:"Tubuh badanku terasa lemah hari ini," dan aku berkata:"Semoga Allah memeliharamu dari kelemahan-kelemahan itu."
Beliau SAWA berkata:"Bawakan kain selimut Yamani kapadaku dan tolong selimutkan daku."
Aku pun membawakan kain selimut Yamani dan menyelimutkan beliau dengan selimut tadi. Wajahnya kelihatan tampak bercahaya seperti bulan mengambang penuh.
Selepas beberapa ketika, anakku Hasan datang dan memberikan salamnya kepadaku, lalu aku membalasnya.
Sebentar kemudian, Hasan berkata:"Wahai ibuku! Aku mencium wangian yang sungguh istimewa sama seperti wangian datukku, Rasulullah."
Justeru, aku menjawab:"Memang benar, datukmu sedang berehat di dalam selimut itu.
Ketika itu, Hasan terus pergi berdiri berhampiran selimut tadi dan memberikan salam kepada Rasulullah lalu beliau menjawab salamnya itu.
Kemudian Hasan bertanya:"Bolehkah saya diizinkan untuk berada di dalam selimut ini?Rasulullah SAWA menjawab:"Silakan," lalu
Hasan turut bersama berada di dalam selimut itu bersama-sama Rasulullah SAWA.
Selang beberapa ketika, Husayn pula datang dan bertukar-tukar salam denganku sambil mengatakan:"Wahai ibuku!Aku tercium bau wangian
seperti yang didapati pada datukku, Rasulullah. Aku lalu menjawab:"Benar wahai anakku, datukmu sedang berehat di dalam selimut bersama dengan saudaramu." Husayn
lalu mendekati selimut tadi dan dengan hormat memberikan salamnya kepada Rasulullah SAWA.
Husayn berkata:"Bolehkan izinkan saya turut sama di dalam selimut ini bersama-samamu? Rasulullah SAWA membalas:"Silakan, buah
hatiku."Lalu Husayn turut serta berada di dalam selimut tersebut.
Tidak berapa lama kemudian, Amirul Mukminin, Ali bin Abi Talib berkata kepadaku:"Salam sejahtera ke atasmu, wahai Fatimah," aku lalu menjawab:"Salam sejahtera juga
atasmu, wahai Abul Hasan, wahai Amirul Mukminin." Apa halnya yang menyebabkan aku menciumi bau haruman Rasulullah? Aku membalas:"Memang benar, sepupumu
itu sedang berehat bersama-sama dengan dua orang anakmu di dalam selimut itu."
Justeru, Ali melangkah ke arah selimut tadi dan berkata:"Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah." Lalu beliau SAWA menjawab:"Salam sejahtera ke atasmu,wahai
pemegang panji-panji Islam dan Amirul Mukminin."
Sejurus kemudian, Ali berkata:"Bolehkan izinkan aku turut serta dalam selimat ini? Rasulullah SAWA mengizinkannya. Justeru, Ali juga turut bersama-sama dengan mereka di dalam
selimut tadi.
Selepas beberapa ketika, aku menghampiri selimut tersebut sambil memberikan salam kepada ayahku dan beliau SAWA membalas salamku. Kemudian aku bertanya, "Wahai
Rasulullah, adakah aku dibenarkan untuk bersamamu berada di dalam selimut ini? Ayahku, Rasulullah lalu membalas:" Sudah tentu, wahai insan tersayang, dan cahaya mataku. Kamu juga
diizinkan. Justeru, aku dapat bersama-sama mereka berada di dalam selimut itu.
Kini, apabila kami semua berada bersama-sama dalam kain selimut itu, Rasulullah memegang hujung selimut tadi sambil berdoa kepada Allah:" Ya Allah, mereka ini adalah Ahlul Baytku. Mereka adalah
orang-orang yang paling hampir dan paling aku cintai dari darah dan dagingku sendiri. Engkau tunjukkanlah kepadaku dan juga kepada mereka
keberkatan, rahmat, dan sucikanlah mereka ini dengan sesuci-sucinya.
Allah SWT lalu memerintahkan para malaikat dengan firmanNya yang bermaksud:
"Wahai para malaikat, dan wahai semua penghuni alam dan syurga, saksikanlah Aku tidak menciptakan syurga yang menjulang tinggi, bumi yang terhampar, matahari yang bersinar, bulan yang bercahaya, langit yang berpusing-pusing, lautan yang berombak-ombak dan kapal-kapal yang belayar, semua itu hanyalah kerana cinta dan kasih sayang kepada lima orang yang berada bersama-sama di dalam selimut tadi."
Malaikat Jibril bertanya:"Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengetahui, siapakah orang-orang yang berada di dalam selimut itu?"
Allah SWT menjawab dengan berkata:"Mereka adalah Ahlul Bayt kenabian dan pemegang amanah kerasulanKu, mereka adalah terdiri daripada Fatimah, bapanya, suaminya dan anak-anaknya."
Ketika itu,malaikat Jibril memohon:"Ya Allah, adakah Engkau membenarkan aku turun ke bumi dan menjadi orang yang keenam di antara mereka? Allah SWT menjawab:"Ya Aku benarkan."Malaikat Jibril lalu turun dari syurga ke bumi dan berkata:"Salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah!"
"Ketahuilah, Allah mengutuskan selawat dan salamNya ke atasmu, dan berkata:"Sesungguhnya Aku tidak menciptakan syurga yang menjulang tinggi, bumi yang terhampar, matahari yang bersinar, bulan yang bercahaya, langit yang berpusing-pusing, lautan yang berombak-ombak dan kapal-kapal yang belayar, melainkan semuanya itu keranamu dan kerana mencintaimu,dan ketahuilah, Dia telah membenarkan daku turut bersama-sama denganmu. Oleh yang demikian, bolehkan izinkan daku untuk bersama-samamu, wahai Rasulullah?"
Rasulullah SAWA menjawab:"Salam sejahtera ke atas engkau,wahai pemegang amanah wahyu Ilahi. Aku benarkan, silakanlah!"
Oleh itu, malaikat Jibril turut serta dalam selimut itu dan ia kemudian berkata kepada ayahku:"Allah SWT mewahyukan kepadamu ayat al-Qur'an yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa-dosa dari kalian, wahai Ahlul Bayt, dan menyucikan kalian sebersih-bersihnya." (Al-Ahzab (33):33)
Selepas dari itu, Ali bertanyakan kepada Rasulullah:
"Wahai Rasulullah, ceritakanlah kepada kami tentang kelebihan-kelebihan kami yang termasuk dalam hadith Kisa dan keutamaan yang
dilimpahkan oleh Allah: Nabi bersabda:" Wahai Ali, demi Allah yang telah melantik aku sebagai RasulNya, dan mengutamakanku dengan menjadikanku sebagai
NabiNya, bila-bila sahaja peristiwa ini diceritakan di dalam perhimpunan manusia di bumi yang dihadiri oleh pengikut dan orang-orang
yang mentaati kami, Allah akan mengurniakan keberkatanNya kepada mereka, dan para malaikat akan turun dan berdoa memohon keampunan mereka sehinggalah
mereka bersurai."
Ali AS menyatakan:"Ini menunjukkan kejayaan kita dan pengikut-pengikut kita dijamin oleh Allah SWT."
Sekali lagi Rasulullah SAWA bersabda:" Bila-bila sahaja peristiwa tersebut diceritakan di dalam mana-mana perhimpunan manusia di bumi yang dihadiri oleh pengikut dan orang yang mentaati kita, sekiranya di sana terdapat sesiapa sahaja yang tidak berasa gembira, Allah akan menjadikan mereka gembira dan sekiranya di sana terdapat orang yang berdoa, Allah akn kabulkan doanya, dan tiada seorang pun akan berasa dukacita kerana Allah akan membuang perasaan dukacita dari mereka.
Lantaran itu Ali AS menyatakan:
"Kejayaan dan kebahagiaan kita dan pengikut-pengikut kita telah dijamin untuk selama-lamanya oleh Allah SWT, Tuhan Rabbil Ka'bah."